suria

Ketupat Fatimah Terlajak Laris

DUNGUN: Setiap hari, warga emas, Fatimah Muda akan menyediakan dan menjual ketupat palas dalam jumlah yang banyak.

Peniaga berumur 63 tahun itu mula menjual hidangan tempatan sejak 26 tahun lalu menggunakan resipi warisan keluarganya.

Jika pada hari biasa, dia menyediakan 400 ketupat palas, jumlah tempahan meningkat empat kali ganda menjelang Ramadan.

Permintaan tinggi menyebabkan Fatimah mengupah empat pekerja untuk membantunya menyiapkan tempahan seharian.

“Hari saya bermula pada pukul 10 malam dengan merendam 24 kilo beras pulut selama empat jam. Selepas solat Subuh, saya akan kukus beras itu secara berperingkat.

“Proses menyediakan ketupat ini berakhir pada pukul 3 petang, dengan membungkus pulut ke dalam daun palas,” katanya.

Untuk Aidilfitri tahun ini, Fatimah telah menerima tempahan sebanyak 7,000 ketupat, dibandingkan dengan purata kebiasaan yang mencapai 5,000 ketupat.

Menurutnya, ada ramai pelanggan yang membuat tempahan untuk Aidilfitri, tetapi dia terpaksa menolak kerana kekurangan tenaga kerja dan peralatan memasak.

Apabila ditanya mengapa ketupat palasnya sangat terkenal, katanya, ramai pelanggan memberitahunya ianya lebih sedap dan besar dari yang dijual di pasar.

“Lagipun, saya menjualnya pada harga murah, bagi ketupat tanpa inti hanya RM1 untuk tiga.

“Peniaga lain menjual ketupat berinti sambal ikan dengan harga 70 sen tetapi saya menjualnya dengan harga 50 sen setiap satu.

“Saya tidak kisah mendapat untung sedikit kerana menganggapnya sebagai sedekah,” tambahnya.

Salah seorang pelanggan setianya, Shahidah Ramli, 42, berkata, setiap tahun sebelum balik ke Kuala Lumpur, dia akan singgah ke gerai Fatimah.

Shahidah, seorang guru di sekolah persendirian berkata, dia  membeli ketupat palas Fatimah kerana sukakan rasanya dan ketupatnya tidak mudah basi.

“Saya suka beli dalam jumlah banyak. Apabila sampai di Kuala Lumpur, saya menyimpan separuh ke dalam peti sejuk beku.

“Saya pernah menyimpannya selama dua bulan. Ketupat nenek Fatimah boleh bertahan lama dan masih kekal sedap,” kata Shahidah. —Bernama



ketupat, Fatimah Muda

Artikel Berikut

Artikel Lain