suria

Denda Maksimum RM100,000 Dicadang Kerana Menggaji Pati

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Akta Sekatan Pekerjaan 1968 akan dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas majikan yang mengambil pekerja asing tanpa izin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

Beliau berkata pindaan itu, yang akan dibentangkan di Parlimen pada Mac, mencadangkan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi setiap pekerja tanpa izin yang digaji.

Beliau berkata, langkah-langkah itu perlu untuk melindungi pekerja asing daripada melarikan diri dan membendung pekerja tanpa izin yang menimbulkan risiko lebih besar untuk keselamatan awam dam keselamatan negara.

"Kita berharap melalui pindaan ini, majikan akan mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah. Kita mahu membendung majikan mengambil pekerja secara haram.

"Hukuman untuk pekerja asing, jika ditangkap, mereka kemungkinan akan dihantar pulang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog dengan lebih 100 pemain industri dan persatuan di sini, Khamis.

Sesi dialog itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, menyaksikan majikan menyuarakan kebimbangan mengenai Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang berkuat kuasa sejak 1 Januari.

Ketika ditanya mengenai keputusan Kabinet untuk menangguhkan ke tahun depan pelaksanaan pembayaran levi kepada pekerja asing oleh majikan, Low berkata, keputusan itu dibuat selepas mengkaji permintaan daripada majikan yang mahukan tempoh ihsan untuk menyesuaikan diri dengan dasar baharu.

"Kerajaan berpendapat ia sesuai untuk menangguhkannya bagi mematuhi permintaan majikan kerana mereka berpendapat ia melibatkan kos tambahan terutama apabila ekonomi dunia adalah perlahan," katanya.

Kepada soalan yang dibangkitkan semasa sesi dialog, Low berkata, beliau akan membawa isu bayaran RM1,134.52 bagi permit pekerja asing melalui MyEG Services (MyEG) kepada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia, Datuk Dr A.T. Kumararajah menimbulkan kebimbangan mengapa pihak ketiga (MyEG) perlu untuk mengendalikan pembaharuan permit sedangkan ia telah diuruskan dengan cekap oleh jabatan Imigresen pada masa lalu. 

Jumlah kos untuk mengupah pekerja asing tanpa izin di bawah program pengambilan semula pekerja asing ialah RM4,787.52. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain