suria

Toleransi Beragama Tonggak Keharmonian Negara - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Toleransi beragama adalah tonggak keharmonian bangsa Malaysia yang harus dipertahankan oleh rakyat negara ini,kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap warga negara Malaysia untuk mempertahankan hubungan harmoni antara kaum yang dinikmati di negara ini.

Katanya seluruh rakyat perlu menolak sebarang unsur negatif dari dalam atau luar yang boleh menggugat keharmonian dalam negara.

"Apabila kita memahami dan menghormati agama lain, kita dapat mempertahankan keharmonian yang wujud sejak sekian lama ini. Keharmonian bukan mudah untuk dicipta manakala toleransi bukan mudah untuk dipertahan. Maka jangan benarkan sebarang unsur negatif dari dalam atau luaryang boleh gugat keharmonian negara," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2016 di pusat beli-belah Pavilion, Rabu malam.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ahmad Zahid berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang memberi komitmen rasmi untuk meraikan pelbagai perayaan menerusi usaha berterusan yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Saya difahamkan bahawa tahun depan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menjalankan kempen hashtag #SayangMalaysia.  Program bertujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serta menggalakkan penyertaan pelancong domestik dan luar negara menggunakan media sosial untuk berkongsi detik indah dan keunikan semasa mereka berada diMalaysia," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pelancong luar negara yang kini berada di Malaysia dan berharap agar mereka dapat bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu di sini. 

Majlis yang diadakan bermula 2 petang itu dimeriahkan dengan pelbagai acara kebudayaan yang menarik berkonsepkan 'cerita dongeng' serta persembahan nyanyian daripada beberapa artis terkenal tanah air.

Kira-kira 2,000 pengunjung dari dalam dan luar negara hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2016. -Bernama

Artikel Lain