suria

Ungkapan 'Hidup Terlalu Singkat' Jadi Realiti Buat Yacoob - Kakak

Yacoob Nasran.

KOTA KINABALU: Ungkapan 'hidup terlalu singkat' seolah-olah menjadi realiti kepada seorang remaja yang maut ketika cuba melindungi rakannya dalam serangan di luar sebuah bar dekat sini.

"Saya masih ingat salah satu ungkapan kegemarannya adalah ‘relax guys, life’s too short’. Ia seperti jadi realiti kepada kamu, adikku," kata Nadiah Nasran Leng, kakak kepada Yacoob Nasran, 18.

Dalam satu posting di laman Facebooknya, Nadiah menyifatkan Yacoob sebagai individu sering mengutamakan orang lain berbanding dirinya sendiri.

Perkataan hidup terlalu singkat yang sering diungkapkan adiknya itu seolah-olah menjadi realiti kepada Yacoob.

"Anda seorang hero, sentiasa mementingkan orang lain lebih dari segalanya," kata Nadiah yang kembali ke Sabah dari London untuk menghadiri majlis pengebumian adiknya itu.

Yacoob, seorang pelajar kolej di Kuala Lumpur dan abangnya, Nabil, 19, yang melanjutkan pengajian di Singapura dilaporkan pulang ke Sabah untuk bercuti.

Pada Khamis, mereka keluar untuk bertemu dengan rakan-rakan.

Sekumpulan remaja itu dikatakan keluar dari bar tersebut kira-kira pukul 4.15 pagi dan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila Yacoob dan Nabil ternampak ada pasangan sedang bergaduh.

Mereka cuba untuk meleraikan pergaduhan itu tetapi lelaki tersebut mengambil sebilah pedang dan melibaskan senjata tajam itu ke arah sekumpulan remaja terbabit.

Yacoob cuba melindungi rakannya tetapi dia terkena tetakan di bahagian leher dan dahi.

Nabil dan seorang lagi rakannya mengalami kecederaan ringan.

Ibu bapa Yacoob, Nigel Leng dan Kee Faridah Kothman berada di rumah mereka di Tanjung Aru, dikelilingi saudara mara dan sahabat handai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.

"Keluarga agak sukar untuk menerima pemergian Yacoob," kata salah seorang rakan keluarga tersebut yang enggan namanya didedahkan.

Keith Lee, rakan sekolah Yacoob di SMK La Salle di sini berkata Yacoob seorang yang peramah dan sentiasa ceria.

Yacoob, katanya tidak teragak-agak untuk membantu rakan-rakan yang ditimpa kesusahan.

"Dia akan sentiasa melindungi rakan-rakannya," kata Keith.

Polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 26 tahun beberapa jam selepas insiden tersebut dan menjumpai dua bilah pedang.

Wanita berusia 23 tahun, pelayan di bar tersebut yang juga bekas isteri seorang suspek utama dan tiga yang lain turut ditahan bagi membantu siasatan.


Yacoob Nasran, maut, serangan bar

Artikel Berikut

Rainbow Skywalk Dibuka Esok

Artikel Lain