suria

"Mr Bean" Naik MRT Untuk Kempen #Hereforgood

PETALING JAYA: Pengguna Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh - Kajang (MRT SBK) dikejutkan dengan kehadiran seseorang lelaki mirip pelawak terkenal dunia, Mr Bean.

Faiket Luari dari Albania yang berpakaian ala Mr Bean turut berkesempatan untuk mencuba menaiki pengangkutan awam terbaharu di dalam negara ini.

Beliau sebenarnya terlibat dalam penggambaran video untuk kempen sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu ditubuhkan, The Giving Bank.

Luari ditemani beberapa krew produksi iaitu Sim Jia Kent, Raphael Lim dan Matthias Yap Chee Seng.

Lelaki yang mesra itu dilihat sempat merakamkan aksi suafoto bersama pengguna MRT lain.

Luari menyifatkan cara itu sebagai langkah terbaik untuk menyebarkan kempen #hereforgood - tagline untuk The Giving Bank.

Diasaskan oleh usahawan Dr Janson Ang dan lima rakannya pada September lalu, The Giving Bank melakukan kerja amal berdasarkan empat tonggak utama iaitu kemanusiaan, pendidikan, perubatan dan kebajikan.

"Kami mahu menjadikan niat yang baik menjadi sesuatu yang lebih serius," kata Ang, 33.

Bakal dilancarkan secara rasmi bulan depan, The Giving Bank sudah memulakan beberapa projek termasuk Bike to School yang menyaksikan 20 kanak-kanak kurang bernasib baik mendapat kemudahan tersebut, jadi mereka tidak perlu berjalan kaki untuk ke sekolah.

"Kami juga membantu dua sekolah untuk mengumpul dana bagi pelajar kurang bernasib baik supaya mereka boleh membayar yuran sekolah, memiliki beg sekolah dan juga pakaian seragam," katanya.

Luari bagaimanapun berkata beliau gembira kerana diberi kepercayaan untuk menyokong kempen tersebut.

"Maklum balas amat menakjubkan. Saya melihat banyak hashtag #thegivingbank dan #hereforgood. Dan lebih ramai beritahu mereka akan menyokong kempen ini," katanya.


MRT SBK, Mr Bean

Artikel Sebelum

Rainbow Skywalk Dibuka Esok

Artikel Lain