suria

Harga Minyak Masak Masih Murah Berbanding Air Mineral - Hamzah

Datuk Seri Hamzah Zainudin
PETALING JAYA: Sebuah keluarga dengan lima ahli terpaksa membelanjakan tambahan kira-kira RM100 setahun untuk minyak masak, berikutan langkah rasionalisasi kerajaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan bahawa anggaran purata penggunaan minyak masak bagi setiap seorang adalah kira-kira 1.5kg setiap bulan (atau RM2.25 bagi seorang.)

"Jika dalam keluarga itu ada lima orang, jumlahnya adalah kira-kira RM10 sebulan dan purata RM100 setiap tahun, yang mana air mineral yang mereka beli dan minum setiap hari melebihi harga minyak masak," katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Guan Eng telah meminta kerajaan untuk menjelaskan sama ada setiap keluarga perlu membayar purata RM50 bagi setiap orang (RM250 untuk lima ahli keluarga) setahun untuk membeli minyak masak.

Berkuat kuasa bulan ini, pengguna perlu membayar harga pasaran bagi minyak masak dalam botol tetapi yang dijual dalam pek plastik kekal pada harga RM2.50 sekilogram.

Menjawab soalan daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) sebelum itu, Hamzah mengulangi bahawa kerajaan tidak memansuhkan subsidi minyak masak tetapi sebaliknya meletakkannya sebagai pelan rasionalisasi.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, masih ada subsidi minyak masak tetapi kerajaan hanya memperkenalkan pelan rasionalisasi supaya kuota itu akan mencapai kumpulan yang disasarkan.

"Kami telah mengarahkan pegawai-pegawai penguatkuasa memantau dan menjalankan pemeriksaan secara rambang di kedai-kedai supaya tidak akan ada sebarang kenaikan harga," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain