suria

Kanak-Kanak Lemas Di Taman Tema Air Batu Pahat

JOHOR BAHRU: Kegembiraan seorang bapa menyambut cuti Deepavali bersama-sama keluarganya bertukar pilu apabila anak lelakinya ditemukan lemas di sebuah kolam di taman tema air di Parit Bilal, Batu Pahat, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan mandi-manda selepas kira-kira 20 minit mendaftar masuk ke taman tema itu pada 3.30 petang.

"S. Rishither, 6, ditemukan lemas oleh bapanya S. Surentharan di sebuah kolam renang yang mempunyai kedalaman lima kaki, tidak jauh dari tempat keluarganya mandi-manda pada 3.50 petang," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.

Katanya pihak pengurusan taman tema membantu keluarga itu membawa mangsa  yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Beliau berkata kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

"Hasil keterangan daripada keluarga mangsa, mereka menyatakan bahawa mereka terdiri daripada dua keluarga seramai sembilan orang datang dari Taman Pelangi, Kluang, ke taman tema air ini untuk berkelah sempena cuti Deepavali," katanya. - BERNAMA

Lemas, Batu Pahat, Taman Tema Air

Artikel Lain