suria

Tujuh Klinik 1Malaysia Baharu Beroperasi Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Tujuh klinik 1Malaysia yang baharu mula beroperasi tahun ini bagi memudahkan rakyat menikmati akses perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

Klinik 1Malaysia berkenaan ditempatkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai dan Batu Berendam di Melaka; Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sungai Petani di Kedah; UTC Miri dan UTC Sibu di Sarawak; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibah di Kuala Lumpur dan RTC Simpang Ampat di Pulau Pinang.

Sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan bagi pembinaan kemudahan kesihatan di seluruh negara termasuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, hospital baharu di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan Cyberjaya serta pembangunan semula Hospital Kajang.

Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, kerajaan komited untuk membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan, klinik pergigian serta kuarters kesihatan di seluruh negara.

Sehingga akhir Ogos, terdapat 145 hospital; 1,806 klinik desa; 966 klinik kesihatan; 56 klinik pergigian dan 341 klinik 1Malaysia beroperasi manakala RM5.7 bilion dibelanjakan untuk bekalan ubat, barang guna habis, vaksin dan reagen untuk semua hospital dan klinik kerajaan.

Sementara itu, program kebajikan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan miskin, kanak-kanak, warga tua dan orang kurang upaya (OKU).

Elaun bulanan berjumlah RM350 kepada OKU bekerja telah diagihkan kepada 75,999 penerima manakala bantuan RM200 sebulan kepada OKU tidak bekerja diagihkan kepada 25,629 penerima.

Sehingga akhir Ogos 2016, kesemua bantuan ini berjumlah RM391.9 juta.

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diperuntukkan sejumlah RM94.1 juta untuk membantu OKU memulihkan keupayaan fizikal dan mental, mendapat akses kepada perkhidmatan asas dan peluang berintegrasi bersama masyarakat.

Sehingga akhir Ogos 2016, sejumlah 21,204 OKU di 527 PDK seluruh negara mendapat manfaat daripada program ini.

Menerusi Skim Bantuan Kanak-kanak, bantuan bulanan RM100 sehingga RM450 disediakan kepada kanak-kanak keluarga miskin manakala di bawah Skim Bantuan Orang Tua, bantuan RM300 diberi kepada warga emas miskin.

Sehingga akhir Ogos 2016, kerajaan membelanjakan RM550.1 juta masing-masing untuk 78,887 keluarga dan 138,029 warga emas miskin. - BERNAMA

Klinik 1Malaysia, RTC, UTC

Artikel Lain