suria

Majoriti Tangkapan Rasuah Berumur 40 Tahun Ke Bawah - SPRM

PUTRAJAYA: Majoriti daripada tangkapan penjenayah rasuah sejak tiga tahun lepas terdiri daripada pelaku dalam kumpulan umur 40 tahun ke bawah, demikian menurut data Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata kebanyakan daripada mereka ini juga terdiri daripada golongan berada, mempunyai pekerjaan tetap dan kedudukan kewangan yang stabil.

"Mereka ini bersikap tamak, nak hidup mewah, nak pakai kereta mewah, sebab itu mereka ambil rasuah," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan kepada saluran televisyen Astro Oasis yang menjalin kerjasama dengan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah.

Majlis itu berlangsung di Ibu Pejabat SPRM di sini Jumaat.

Shamsun berkata berdasarkan statistik SPRM, sejumlah 1,045 daripada 1,092 yang ditahan sejak 2013 lepas kerana melakukan jenayah rasuah adalah mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Perkembangan ini, katanya amat membimbangkan kerana golongan ini merupakan kumpulan pelapis kepimpinan negara masa hadapan.

Beliau berkata tangkapan rasuah dalam kalangan penjawat awam berumur di bawah 40 tahun juga semakin meningkat iaitu seramai 206 orang pada tahun lepas berbanding 136 orang pada 2014 dan hanya 96 pada 2013 lepas.

Sehubungan itu, Shamsun berkata SPRM menggunakan pendekatan peserta rancangan 'Pencetus Ummah' yang keempat di stesen televisyen Astro Oasis yang terdiri daripada belia berumur antara 18 sehingga 41 tahun bagi menyampaikan dakwah berkaitan integriti khususnya dalam menangani rasuah.

"Mereka lebih memahami rakan sebaya jadi mungkin platform ini akan lebih berkesan dalam menyampaikan maklumat berkaitan hukuman rasuah dan sebagainya untuk memberikan kesedaran kepada penonton khususnya yang beragama Islam," katanya.

Beliau berkata seramai sembilan peserta 'Pencetus Ummah' akan terlibat dalam rancangan tazkirah khas pencegahan rasuah melibatkan tujuh episod bermula 27 Oktober sehingga 8 Disember depan.

Bagi mengelakkan masalah rasuah menjadi semakin parah, Shamsun berkata pihaknya juga telah mengadakan kempen pencegahan rasuah di peringkat sekolah dan universiti.

"Pada tahun ini, kami telah juga memasukkan silibus pencegahan rasuah dalam buku teks murid Tahun Enam dan akan memasukkan silibus ini ke dalam kurikulum pelajar sekolah menengah secara berperingkat demi memberi kesedaran tentang keburukan rasuah dalam diri setiap individu dari peringkat awal lagi," katanya.

Kerjasama antara SPRM dan stesen televisyen Astro Oasis antara lain melibatkan penyebaran luas mesej pencegahan rasuah dan pembinaan integriti yang jitu dalam kalangan umat Islam negara ini.

SPRM dan Astro Oasis juga akan menyiarkan kandungan program yang bakal mengupas dan mendedahkan pelbagai aspek mengenai integriti diri, rasuah dan pencegahannya dengan menyorot kisah teladan dari masa kini sehingga ke zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Abdul Samat Kasah dan Pengurus saluran televisyen Astro Oasis Ahmad Fuad Mat Ali. - BERNAMA

tangkapan, rasuah, SPRM

Artikel Sebelum

Kadar BR1M Naik Tahun Depan

Artikel Berikut

Artikel Lain