suria

Pekerja Kilang Alami Radang Paru-Paru Terhidu Gas Klorin

IPOH: Seorang pekerja sebuah kilang memproses bahan kimia di sini disahkan mengalami radang paru-paru akibat terhidu gas klorin selepas berlaku kebocoran gas di kilang itu, Sabtu.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie berkata pekerja tersebut seorang lelaki kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini. 

"Pekerja kilang berkenaan kini menggunakan alat bantuan pernafasan. Petanda penting lain seperti tekanan darah dan denyutan jantung normal.

"Kami berikannya 'muscle relaxants' dan biarkan dia tidur," katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp pada Ahad.

Selain itu, Dr Juita berkata seorang anggota bomba yang mengalami keletihan ketika melakukan kerja-kerja meneutralkan gas klorin berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Katanya anggota terbabit kini dirawat di wad biasa HRPB, namun masih diletakkan di bawah pemerhatian.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, sebuah tangki asid ferik di kilang memproses produk kloralkali di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu jatuh dan pecah sehingga menyebabkan bahan cecair itu bercampur dengan hipoklorit pada paip seterusnya menghasilkan gas klorin.

Akibat daripada kejadian itu, enam anggota bomba mengalami keletihan selepas memikul lima tan sodium bagi meneutralkan gas klorin yang bocor. - BERNAMA

Kebocoran Gas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain