suria

"Tahap Kesihatan Saya Baik, Mana Ada Saya Pengsan" - Ahmad Bashah

WAJAH BAHARU...Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tersenyum lebar dan kelihatan lebih kurus ketika ditemubual pengamal media di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Ahad. -fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta pihak-pihak tertentu berhenti menyebarkan maklumat tidak benar mengenai tahap kesihatannya di laman sosial.

Beliau mengakui memang ada ke hospital bagi menjalani pemeriksaan susulan selepas menjalani pembedahan kecil di Hospital Pulau Pinang pada 6 Jun lalu akibat komplikasi usus, namun keadaan kesihatannya semakin baik.

"Tahap kesihatan saya baik dan apa yang diviralkan di laman sosial tidak benar kerana selepas menjalani pembedahan, mana ada saya pengsan seperti yang diuar-uarkan.

"Saya boleh terima maklumat tidak benar mengenai diri saya ini tetapi ia mungkin tidak boleh diterima oleh keluarga saya," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau sebelum itu mengiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat pulang ke ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, Ahad.

Ahmad Bashah berkata beliau telah kembali bertugas pada 3 Julai lalu dan menjalani rutin harian seperti biasa.

"Saya boleh menjalankan urusan kerja dan rutin harian seperti biasa cuma sekarang pergerakan masih terbatas sedikit kerana baru empat bulan sembuh selepas menjalani pembedahan. Doktor beritahu sekurang-kurangnya akan mengambil masa enam bulan untuk sembuh sepenuhnya," katanya.

Justeru katanya, orang ramai perlu memberi fokus untuk melihat dan menyebarkan kejayaan pembangunan di Kedah.

Artikel Lain