suria

SPRM Diminta Siasat Pencerobohan Nelayan Asing

TAWAU: Gabungan Persatuan Perikanan dan Kapal Nelayan Sabah mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aktiviti menangkap ikan oleh nelayan luar negara dipercayai Vietnam di perairan Pulau Mengalun dekat perairan Kota Kinabalu.

Pengerusinya, Arsani Arsat berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku berikutan terdapat pasukan penguatkuasaan yang mengawasi dan memantau aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

"Dipercayai kira-kira 22 kapal Vietnam menangkap ikan di perairan Mengalun menggunakan lesen yang berdaftar daerah Menumbok di bawah Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah serta memiliki lesen Jabatan Perikanan negeri Sabah.

"Ini satu kesalahan klon atau duplicate lesen...apa yang difahamkan tiada lesen dikeluarkan kepada kapal-kapal asing," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai dialog bersama pemain-pemain industri termasuk operator pelancongan, perkapalan nelayan serta persatuan dewan perniagaan bagi Zon Selamat Pantai Timur Sabah, di sini, Ahad.

Arsani berkata aduan telah dibuat, namun difahamkan bahawa kapal-kapal itu mempunyai perjanjian persefahaman (MoU) bersama pihak kerajaan negeri Sabah.

"Namun perkara ini, telah dinafikan oleh Jabatan Perikanan," katanya.

Bagaimanapun, ketika ini kesemua kapal nelayan dipercayai dari Vietnam itu tidak lagi berada di perairan Sabah. - BERNAMA

SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain