suria

Imbasan Suhu Badan Mula Dilaksana Di LTSAS Cegah Penularan Zika

Dr Juita Ghazalie.

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak mula melakukan imbasan suhu badan ke atas penumpang yang tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini sebagai langkah mencegah penularan virus Zika.

Pengarahnya Datuk Dr Juita Ghazalie berkata imbasan suhu badan dibuat sejak Khamis dan pelaksanaannya akan dikaji semula akhir bulan ini.

"Setiap hari terdapat tiga kakitangan yang bertugas, selain mengambil suhu badan, mereka juga akan mengedarkan risalah yang mengandungi maklumat mengenai Zika termasuk langkah pencegahan.

"Kita akan teruskan langkah ini mungkin sehingga hujung bulan dan selepas itu akan nilai semula memandangkan Hari Raya Haji semakin hampir, mesti ramai yang akan datang (balik kampung) di Ipoh," katanya.

Setiap hari terdapat penerbangan dari Singapura mendarat di LTSAS yang dikendalikan oleh syarikat Firefly dan Tigerair.

Setakat Khamis, 115 kes Zika direkodkan di Singapura, sementara Malaysia mencatatkan kes pertama apabila seorang wanita dari Klang, disahkan positif dijangkiti virus tersebut selepas pulang dari republik itu pada 21 Ogos lepas.

Sementara itu, Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airport Sdn Bhd LTSAS Mohd Ali Osman berkata pihaknya akan sentiasa membantu Jabatan Kesihatan dari segi prosedur untuk mengekang penularan Zika.

Ditanya mengenai persediaan kakitangan lapangan terbang untuk mengelak jangkitan, Mohd Ali berkata tiada langkah spesifik diambil seperti pemakaian penutup hidung dan mulut memandangkan Zika tidak berjangkit melalui udara.

Mengenai jumlah penumpang sama ada pergi atau balik dari Singapura, Mohd Ali berkata :" Penumpang masih biasa, mencapai 80 peratus penuh dalam setiap penerbangan". - BERNAMA

LTSAS, virus Zika

Artikel Lain