suria

Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Akibat Serangan Di Thailand, Pakistan

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia yang terjejas berikutan insiden pengeboman dan serangan di Thailand serta Pakistan baru-baru ini, menurut Kementerian Luar.

Kenyataan kementerian itu hari ini menyebut Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden berkenaan.

Rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Thailand atau mereka yang tinggal di Thailand diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri pada setiap masa.

"Mereka juga digalakkan supaya mendaftarkan diri, sama ada menerusi email atau faks, dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla," menurut kenyataan itu.

Siri insiden pengeboman dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Thailand, iaitu di Trang, Hua Hin, Surat Thani, Phuket serta Nakhon Si Thammarat, antara Khamis dan Jumaat, yang mengakibatkan beberapa kematian.

Sementara itu, kerajaan Malaysia turut merakamkan simpati dan takziah yang mendalam kepada kerajaan Pakistan serta keluarga mangsa serangan pada 8 dan 11 Ogos di Quetta, Baluchistan.

Serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 73 kematian manakala mangsa yang cedera pula tidak terhitung banyaknya.

"Kerajaan Malaysia menganggapkan insiden terbaru ini sebagai tindakan keganasan dan berharap supaya pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan," menurut kenyataan itu.

Kementerian menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad akan terus memantau keadaan.

Thailand, Pakistan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain