suria

PAS Guna Ketaksuban Agama Untuk Menyerang - Amanah

Dzulkefly Ahmad.

SUNGAI BESAR: Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa PAS menggunakan ketaksuban agama untuk menyerang parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Mereka (PAS) merendahkan-rendahkan kami dengan mendakwa warna logo parti kami (jingga) meniru pakaian sami Buddha, dan melabel parti kami 'nanar' (bahasa Kelantan bermakna bengong).

"PAS hina warna sami, itu adalah taksub dan adalah satu bentuk ketaksuban agama paling teruk," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Dzulkefly mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengkritik Amanah kerana memilih logo berwarna jingga, menyifatkannya sama seperti pakaian sami berwarna kuning kunyit.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir berkata isu 32 anggota Amanah yang menyuarakan secara terbuka sokongan mereka terhadap calon Barisan Nasional (BN) PRK Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi pada Selasa tidak akan menjejaskan sokongan untuk Amanah.

"Saya mengesahkan mereka adalah anggota parti tetapi terserah kepada mereka untuk menzahirkan sokongan untuk calon lain (Budiman). Jika mereka mahu menyokong Budiman, itu adalah hak mereka," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden Amanah Dr Hatta Ramli dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Pengundian PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Budiman, calon Amanah Azhar Abdul Shukur dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.- BERNAMA

PAS, Amanah, PRK Sungai Besar

Artikel Lain