suria

Pakej Umrah: 61 Kes Dikompaun, 11 Syarikat Dibatal Lesen - Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz.

SUNGAI BESAR: Sebanyak 61 kes pelbagai kesalahan oleh syarikat pelancongan dalam penawaran pakej umrah telah dikenakan kompaun sebanyak RM293,000 dengan 11 syarikat dibatalkan lesen pelancongan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata statistik yang direkodkan kementeriannya dari tahun 2012 hingga Mei 2016 itu juga turut menarik balik lesen sebuah syarikat dalam bidang 'outbound' (pelancongan luar negeri) atas kesalahan berkaitan pengendalian pakej umrah.

Katanya, antara syarikat yang telah dibatalkan lesen pelancongan itu adalah syarikat Permata El-Nur Travel and Tours, Seven Seas Travel and Tours, Yadh Travel and Tours, Hijjaz Legend Travel and Tours, Qaisar Travel and Tour, dan ANF Holidays Sdn Bhd.

Beliau berkata jumlah kes yang difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) dari tahun 2012 hingga Mei 2016 pula adalah 3,418 kes melibatkan nilai tuntutan RM20.86 juta.

"Statistik dari 2014 hingga April 2016 oleh Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan sebanyak 126 kes penipuan pakej umrah/haji dicatatkan melibatkan nilai kerugian RM5.9 juta.

"Antara sebab kes-kes itu berlaku adalah berikutan kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan atau penangguhan pakej umrah dan pelanggaran terma serta syarat pakej berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menutup Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah, Ziarah dan Hak Kepenggunaan peringkat Selangor anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Kampung Sungai Leman, Sungai Nibong, di sini.

Mohamed Nazri berkata Selangor mencatatkan kes penipuan pakej umrah paling tinggi direkodkan setakat ini dengan 11 aduan.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam di negara ini supaya lebih teliti ketika memilih syarikat pengendali umrah dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej ibadah kurang daripada RM4,900.

"Jika kurang daripada nilai ini, pastinya jemaah telah ditipu. Saya amat kesal kerana kebanyakan daripada jemaah yang ditipu ini adalah rakyat yang terpaksa mengumpul wang untuk menunaikan ibadah itu," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mempergiat lagi usaha meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap penipuan pakej umrah bagi mengelakkan lebih ramai lagi rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan ditipu pihak tidak bertanggungjawab. - BERNAMA

pakej umrah/haji, penipuan

Artikel Sebelum

Artikel Lain