suria

Kelulusan Akta MKN Selaras Perlembagaan - Azalina Othman

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan Parlimen selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 66 Fasal (3), sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

"Menurut (Perkara 66) Fasal (4A), jika sesuatu rang undang-undang itu tidak diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agong dalam masa 30 hari, rang undang-undang itu hendaklah menjadi Undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal 4 mengikut cara sama seolah-oleh ia telah diperkenankan," katanya dalam  kenyataan di sini, Isnin.

Beliau menjelaskan kelulusan Akta MKN bukanlah perkara luar biasa kerana situasi sama pernah berlaku sebelum ini iaitu pada 1983 dan 1992 dalam meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Ini adalah proses biasa bagi negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan.

"Pindaan terhadap Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan telah dibawa melalui usul oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Ogos 1983 di Dewan Rakyat dan telah diluluskan," katanya.

Pada 17 Feb lepas, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Ke-240 Majlis Raja-raja di Istana Negara.

Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan, telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Dis 2015 sebelum diluluskan pula Dewan Negara pada 22 Dis 2015 dan diwartakan menjadi undang-undang pada 7 Jun lepas.

Sementara itu, Mohamed Apandi berkata: "Mengikut undang-undang, MKN perlu mendapatkan perkenan diraja berdasarkan Klausa 4A, Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan."

Beliau berkata demikian dalam satu teks khidmat pesanan ringkas.

MKN

Artikel Lain