suria

Kes Kematian Syed Alman: Polis Selesai Ambil Keterangan

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan saksi berhubung kes kematian menantu timbalan perdana menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika mendapat rawatan gigi di sebuah klinik swasta di Bangsar, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu keterangan daripada pakar Kementerian Kesihatan sebelum menghantar laporan penuh kepada pejabat Peguam Negara.

"Dari segi keterangan saksi, kita telah selesai dan kini menunggu keterangan pakar sahaja. Pengumuman mengenai laporan penuh terpulang kepada laporan pakar kerana saya ingat laporan ini akan ambil masa sedikit dan kita tunggu. Saya tidak pasti itu pihak hospital punya kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan hari raya berupa 55,000 kotak makanan daripada Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) kepada pasukan keselamatan negara, di sini, Isnin.

Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Bakti iaitu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Noor Rashid dalam pada itu berkata, adalah terlalu awal untuk pihaknya memberikan komen mengenai laporan tersebut kerana masih menunggu laporan daripada pakar.

Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan 11 individu termasuk dua doktor gigi yang merawat Syed Alman.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan berhubung kematian Syed Alman.

Sementara itu, Noor Rashid berkata pihaknya telah mengesan dua daripada 23 kanak-kanak di negara ini yang menjadi mangsa kepada pesalah pedofilia warga Britain, Richard Huckle.

Katanya, ketika ini polis dalam proses memberi bantuan dari segi khidmat kaunseling terhadap dua kanak-kanak berkenaan dan sekiranya keadaan mangsa stabil, pihaknya akan merekodkan keterangan.

"Dua kanak-kanak telah dikenal pasti dan selebihnya masih dikesan yang dipercayai berada sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

Artikel Lain