suria

Lelaki Didenda RM1,800 Ugut Cederakan Bapa Dengan Tong Gas

KUALA LUMPUR: Seorang pembuat plaster siling didenda RM1,800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin selepas mengaku bersalah mengugut untuk mencederakan bapanya dengan menggunakan tong gas dan pemetik api.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap J. Thevakumar, 33, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah itu terhadap pesara S. Jai Raman, 66, untuk menyebabkannya merasa cemas dan takut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di PPR Desa Rejang, Taman Setapak Jaya, di sini pada 6 petang, 7 Jun lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan bapanya berpunca daripada soal wang.

Dalam rayuannya, Thevakumar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah menceroboh tempat penyimpanan barangan pembinaan di sini, tiga hari lepas.

K. Subramaniam, 62, didakwa memasuki Basement 2 (tingkat bawah tanah) secara tidak sah di Bangunan My Town, Jalan Cochrane di sini pada 3 pagi, 10 Jun lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Faizal memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 10 Jun lepas. 

Artikel Lain