suria

Pemandu Bas Persiaran Maut Dalam Kemalangan

IPOH:  Seorang pemandu bas terbunuh manakala 12 penumpang cedera parah apabila bas persiaran yang mereka naiki dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 285.1 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan pagi Khamsi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata kemalangan pukul 4.15 pagi itu juga telah mengakibatkan 20 lagi penumpang cedera ringan manakala kelindan lori cedera parah.

"Selain penumpang tempatan, penumpang bas itu juga membabitkan warga asing iaitu Pakistan, Iran, Bangladesh, Myanmar dan Jerman," katanya dalam satu kenyataan media di sini malam ini.

Beliau berkata bas yang sedang dalam perjalanan dari arah utara ke selatan dilaporkan merempuh belakang lori membawa muatan getah yang berhenti di lorong kecemasan akibat masalah teknikal.

"Tiba-tiba bas yang datang dari arah belakang telah terlanggar bahagian belakang kanan lori dan mengakibatkan bahagian kanan lori itu dan bahagian kiri depan bas rosak teruk," katanya.

Beliau berkata mayat pemandu bas berkenaan dan semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. -Bernama

Kemalangan maut, bas persiaran

Artikel Lain