suria

Permulaan Era Baharu Penduduk Puchong

ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk menaiki kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) dari empat stesen baharu yang mula dibuka pada Khamis.

Empat stesen projek penyambungan laluan Ampang itu ialah IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri.

Penduduk Taman Puchong Jaya, Alex Koh, 80, teruja menaiki LRT dari stesen Taman Perindustrian Puchong pada kira-kira pukul 10 pagi Khamis.

Dia bagaimanapun tidak mempunyai destinasi tertentu untuk dituju.

"Saya di sini untuk mencuba tren baharu. Saya hanya akan duduk dalam tren dan biarkan ia membawa saya ke mana-mana sahaja. Namun saya begitu sedih kerana tiada pengangkutan percuma diberikan kali ini.

"LRT adalah pengangkutan yang baik kerana tambang teksi dari IOI Mall untuk ke Kinrara BK5 yang hanya dalam jarak 4.5km memakan kos RM15!

"Namun sekarang saya boleh menggunakan kad warga emas dan mendapatkan diskaun 50 peratus daripada tambang LRT," katanya.


Seorang lagi penumpang, Wong Soo Soon, 40, kini tersenyum lebar kerana dia boleh menaiki LRT dari stesen Bandar Puteri ke KLCC.

"Saya tinggal di Puchong Putra Prima tetapi stesen di sana masih belum dibuka.

"Ia mengambil masa 15 minit memandu ke stesen ini, tetapi tiada ruang letak kereta di LRT Bandar Puteri.

"Saya meletakkan kereta di Putri Mart kerana ia percuma untuk pelanggan, jadi saya boleh bersarapan di sana dan kemudian berjalan kira-kira 200 meter ke stesen.

"Saya suka stesen ini, ia lebih besar dan yang lebih penting mudah untuk sampai ke Kuala Lumpur.

"Tetapi saya terpaksa menunggu 10 minit untuk menaiki tren. Saya harap mereka akan meningkatkan kekerapan tren tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Merak, William Pang bimbang pengguna LRT akan mula meletakkan kereta di kawasan kediaman mereka.

"Kawasan perumahan kami terletak kurang daripada 300 meter dari stesen Pusat Bandar Puchong.

"Saya amat bimbang orang ramai akan mula meletak kereta mereka berhampiran rumah saya dan menghalang jalan masuk ke kawasan perumahan kami," katanya.

Buat masa ini, tiga daripada empat stesen menyediakan ruang letak kereta iaitu 470 di IOI Puchong Jaya, 122 di Pusat Bandar Puchong dan 350 di Taman Perindustrian Puchong.

Semua ruang letak kereta itu adalah percuma buat masa ini.

Walau bagaimanapun, isu tempat letak kereta yang tidak mencukupi di stesen-stesen LRT bukan perkara baru.

Adun Kinrara, Ng Sze Han menjelaskan bahawa bas pengantara diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini.

LRT, Transit Aliran Ringan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain