suria

Kelantan Antara Penerima Peruntukan Tertinggi Kerajaan - Najib

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM400 juta diperuntukkan kepada Kelantan tahun lalu, menjadikan negeri tersebut antara penerima peruntukan tertinggi daripada kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan itu tidak termasuk peruntukan kepada agensi-agensi negeri, wang ihsan dan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

"Semua RM400 juta ini masuk ke kantung kerajaan negeri, hakikatnya bantuan untuk Kelantan antara yang tertinggi kita beri walaupun Kelantan bukan di bawah Barisan Nasional," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Najib menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) yang ingin tahu sama ada keseluruhan peruntukan RM400 juta kepada Kelantan hanya untuk kerajaan negeri atau termasuk untuk agensi-agensi lain.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) berkenaan kesediaan kerajaan memberi peruntukan kepada Kelantan bagi melaksanan program 'Dapur Hijau' untuk menggalakkan penduduk bercucuk tanam, Najib berkata kerajaan sentiasa menggalakkan sebarang usaha bagi membantu rakyat.

"Kita beri untuk tahun 2015 kesemuanya ialah RM400 juta, bukan sikit. Kita harap daripada RM400 juta ini terpulang kepada kerajaan negeri nak agih-agihkan untuk buat program bantu rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) sama ada penilaian kos sara hidup di negara ini disandarkan pada standard kehidupan yang bersesuaian, Najib berkata satu daripada punca utama tekanan kos sara hidup adalah taraf pendidikan sebahagian besar rakyat yang masih rendah.  

"Maknanya kalau kita setakat ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja, tiada lagi sarjana, tiada diploma serta tiada kemahiran tertentu, kita tidak boleh dapat pekerjaan yang memberi pendapatan yang baik.

"Jadi kita mesti tanam dalam minda rakyat supaya cari kelulusan yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Nik Mohamad Abduh berkenaan langkah kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi, Najib berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya antara inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat ialah Bantuan Rakyat1Malaysia, Bantuan Persekolahan, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia.

Selain itu, Najib berkata kerajaan juga menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan di samping penetapan gaji minimum kakitangan awam sebanyak RM1,200 mulai Julai tahun ini. 

Katanya kerajaan juga memberi insentif pelepasan cukai individu dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menambah pendapatan boleh guna rakyat.

"Pendekatan kerajaan yang bersifat holistik, jangka pendek dan jangkapanjang ini secara tidak langsung membantu pertumbuhan ekonomi negara dan menyumbang kepada pembentukan struktur sosial negara yang lebih kondusif dan progresif," katanya. -Bernama

Artikel Lain