suria

Polis Terengganu Pantau Media Baharu Sebar Berita Tidak Sahih

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri ini. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh menimbulkan kekeliruan dan kekecohan orang ramai.

Beliau berkata polis mendapati aktiviti penyebaran itu semakin berleluasa, antara lain membabitkan dakwaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya negeri.

"Mereka mengambil kesempatan ini dengan menyebarkan berita yang tidak benar.Tindakan ini boleh mencetuskan kekecohan dan kekeliruan orang ramai," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lebih membimbangkan apabila ada juga pihak yang sanggup membuka akaun Facebook dengan menggunakan nama dan gambar pemimpin Terengganu bagi menyalurkan maklumat palsu yang mengundang kegusaran awam.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang menimbulkan perkara berbaur hasutan, fitnah dan tindakan di bawah SKMM akan dikenakan," katanya.

Sehubungan itu, Rosli berkata polis bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau media baharu.

Persidangan DUN Terengganu baru-baru ini gempar apabila bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Razif, namun Speaker DUN Datuk Mohd Zubir Embong menolak cadangan usul itu.

Susulan itu pelbagai maklumat palsu disebarkan hingga mengaitkan pembubaran DUN dan pergolakan antara pemimpin Umno.-Bernama

Polis Terengganu

Artikel Lain