suria

Tiada Arahan Tutup Mulut, Hanya Nasihat - DAP

Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Ahli DAP diarahkan supaya menutup mulut mengenai isu banglo yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah tidak benar dan ia sekadar nasihat.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke memberitahu pemberita bahawa perkataan 'tutup mulut' tidak sama sekali disebut dalam pekeliling emel yang dihantar kepada ahli parti itu.

"Kepimpinan parti tidak pernah mengeluarkan arahan tutup mulut. Ia sekadar nasihat daripada kepimpinan Pulau Pinang bahawa mereka melantik beberapa jurucakap untuk bercakap mengenai perkara itu.

"Nasihat itu hanya untuk wakil Pulau Pinang. Nasihat ini yang membolehkan beberapa jurucakap menangani isu tersebut," kata Loke.

Beliau berkata nasihat itu dikeluarkan untuk mengelak kekeliruan di kalangan rakyat.

"Kami fikir adalah lebih baik untuk hanya mempunyai beberapa jurucakap yang mempunyai fakta lengkap mengenai isu itu untuk bercakap kepada pemberita supaya ia tidak mengelirukan rakyat.

"Ahli DAP yang lain masih bebas untuk bercakap mengenainya. Jika mereka mahu bercakap tiada siapa berhak untuk menghalang," kata Loke.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata isu banglo Pulau Pinang bukan sesuatu yang memerlukan semua ahlinya diarahkan untuk tutup mulut.

"Apabila saya pulang (ke Klang), orang ramai akan bertanya kepada saya. Saya tidak boleh cakap kami diarahkan tutup mulut.

"Ia tindakan yang bodoh. Ini bukan perkara yang memerlukan anda untuk tutup mulut. Tapi ia memerlukan anda untuk memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai kebenaran yang perlu didedahkan," katanya.

Artikel Lain