suria

Murid Potong Lidah: JPN Nafi Wujud Elemen Cuai

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Selangor menafikan wujud elemen cuai dalam insiden seorang murid lelaki tahun dua yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri di sebuah sekolah di sini, Khamis lepas.

Pengarahnya, Zainuren Mohd Noor berkata mengikut laporan pihak sekolah terlibat, kejadian berlaku di dalam kelas dan bukan tandas seperti yang didakwa.

"Laporan itu turut menyatakan saksi yang juga rakan sekelas mangsa memberitahu bahawa murid berkenaan menggunting lidahnya sendiri.

"Ketika itu guru sedang sibuk memberi perhatian kepada sekumpulan pelajar.

"Selepas kejadian, murid berkenaan terus dikejarkan ke hospital dan melaporkan perkara itu kepada ibu bapanya," katanya.

Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga yang memakai topeng di dalam tandas sekolah itu.

Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

Bagaimanapun Zainuren berkata, pihaknya akan terus melakukan siasatan sama ada wujud unsur buli dalam kejadian itu.

Muhammad Alif yang masih trauma dengan kejadian itu dilapor akan berpindah ke sekolah lain demi keselamatan dan kelancaran pembelajarannya. - BERNAMA

potong lidah

Artikel Lain