suria

Gambar Jacel Kiram: Tian Chua, Nurul Izzah Dipanggil Beri Keterangan

Pandikar Amin Mulia.

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengenai gambar yang diambil bersama dengan anak perempuan Jamalul Kiram III, Jacel Kiram.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Tian Chua (Batu) dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan ke atas Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

"Kami memutuskan untuk memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai bagi membolehkan beliau memberikan penjelasan berhubung dakwaan seperti yang dinyatakan dalam usul yang dibentangkan oleh menteri," katanya kepada pemberita di Parlimen pada Selasa.

Pandikar berkata terpulang kepada Nurul Izzah untuk memanggil saksi lain bagi membantu beliau semasa siasatan dan jawatankuasa tersebut akan memutuskan sama ada keterangan mereka relevan atau tidak.

Berdasarkan sebab-sebab teknikal, mesyuarat jawatankuasa itu ditangguhkan ke Rabu depan, kata Pandikar sambil menegaskan tiada tempoh masa ditetapkan untuk melakukan siasatan tersebut.

Kerajaan merujuk Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR kepada jawatankuasa itu selepas beberapa keping gambar beliau bersama Jacel menjadi viral di laman sosial.

Tindakan Nurul Izzah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak malah ada yang mempersoalkan mengapa beliau bertemu Jacel.

Jacel merupakan anak kepada Jamalul Kiram III yang mengarahkan seramai 200 tentera Sulu menceroboh Sabah pada Februari 2013.

Artikel Lain