suria

El Nino: Aktiviti Mendaki Boleh Diteruskan Dengan 'Syarat'

Ravichandran

PETALING JAYA: Aktiviti mendaki gunung boleh diteruskan ketika negara berdepan cuaca panas, tetapi ia perlu dilakukan dengan ‘bersyarat’.

Presiden Kelab Ekspedisi Global Malaysia (GEC) T Ravichandran berkata kebanyakan gunung atau bukit di negara ini tidak terdedah sepenuhnya kepada pancaran matahari, justeru pendakian boleh dilakukan berbekalkan pengetahuan dan persediaan asas bagi memastikan pendaki tidak terkena strok haba atau risiko kesihatan lain.

Ravichandran pendaki solo negara yang sudah dua kali menawan Everest berkata perkara paling penting yang perlu dilakukan sebelum memulakan pendakian ialah banyak meminum air.

"Ketika mendaki dalam cuaca panas haba akan menyerap air dalam badan dan kita juga akan berpeluh. Pada masa ini cecair dalam badan menjadi begitu penting, sama pentingnya dengan darah dalam badan kita. Air akan menstabilkan tubuh kita.

"Pendaki boleh minum air yang dibawa ketika mendaki, tetapi apa yang lebih penting mereka mesti minum banyak air dua atau tiga hari sebelum mereka mendaki selain mengambil banyak karbohidrat untuk tenaga," katanya kepada mStar Online.

Ravichandran atau lebih mesra disapa sebagai Ravi mengakui gelombang haba dan peningkatan suhu yang berlaku kesan fenomena El Nino dapat dirasai dengan jelas oleh beliau sendiri ketika melakukan beberapa pendakian baru-baru ini.

Sebagai contoh, beliau yang baharu sahaja menawan puncak Gunung Kinabalu buat pada 21 Mac lalu berkata keadaan cuaca di sana adalah lebih panas berbanding pendakiannya sebelum ini di gunung yang sama sebelum ini.

"Walaupun cuaca panas, saya sendiri masih terus mendaki, tetapi kenalah ada pengetahuan dan persiapan rapi tentang gunung yang bakal didaki itu.

"Bagi yang langsung tiada pengetahuan atau pengalaman, saya nasihatkan mereka tangguh dulu perancangan mereka untuk mendaki sehingga cuaca kembali normal," katanya yang lebih 30 kali menawan puncak Kinabalu.

Menurut Ravi, pemilihan gunung atau tempat mendaki juga menjadi faktor penting dalam memastikan pendakian dalam cuaca panas selamat.

Dalam konteks ini, pendaki dinasihatkan memilih gunung ‘bertutup’  dan mempunyai kawasan tadahan air.

Katanya, pendaki juga perlu memulakan pendakian awal pagi dan memendekkan masa ketika berada di puncak gunung kerana kebanyakan puncak tidak mempunyai banyak pokok dan terdedah terus kepada matahari.

"Elakkan berada terlalu lama di kawasan lapang. Kawasan tadahan air pula penting jika pendaki berdepan situasi kehabisan bekalan air," ujarnya.

Katanya, secara keseluruhannya, kebanyakan gunung di Malaysia mempunyai ciri-ciri tersebut, tetapi beliau turut memberi beberapa cadangan gunung yang sesuai seperti Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, Gunung Angsi, Kuala Pilah dan Gunung Datuk, Rembau.

"Gunung-gunung ini masih ada kawasan yang dipenuhi pokok-pokok tinggi yang bertindak sebagai ‘payung’ bagi mengelak pendaki terdedah secara langsung dengan matahari.

"Kebanyakan gunung kita masih lagi basah, lembab, berembun dan ‘tertutup’," katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata bagi pendakian Gunung Kinabalu, beberapa langkah keselamatan telah diambil oleh pihak Taman-Taman Sabah termasuklah memastikan pendaki tiba di Sayat-Sayat sebelum pukul 5 pagi, bagi membolehkan mereka meneruskan pendakian ke puncak.

"Pendaki yang lambat tiba di Sayat-Sayat tak akan dibenarkan melepasi pagarnya untuk ke puncak.

"Jika mereka dibenarkan meneruskan pendakian, mereka akan tiba lewat di puncak dan ketika turun mereka terdedah secara langsung kepada matahari selain berdepan refleksi haba batu gunung," katanya.

Katanya, untuk turun dari Laban Rata ke Timpohon, para pendaki disarankan turun lebih awal dan tidak berehat terlalu lama di pondok-pondok yang disediakan kerana ia terdedah kepada pancaran matahari.

Pada Isnin, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengeluarkan notis tidak menggalakkan pengunjung melakukan pendakian di Gunung Datuk dan Gunung Angsi buat sementara waktu.

Bagimanapun notis itu bukanlah larangan kepada aktiviti pendakian dan gunung-gunung itu tidak ditutup.

Keputusan ini dibuat setelah dua pendaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Datuk Sabtu lalu.

Chung Kwok Kwong, 54, dari Petaling Jaya, meninggal dunia pada jam 1.05 tengah hari selepas diserang sakit jantung. Muhammad Hannan Kamarzaman, 26, dari Jasin, Melaka, meninggal dunia pada jam 6.30 petang selepas mengadu keletihan.

Pada Ahad, seorang lelaki maut di puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands selepas mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri.

Artikel Lain