suria

Polis Minta Saksi Kes Kenderaan Bergesel Tampil

MELAKA: Polis Melaka meminta individu atau kumpulan yang menyaksikan insiden lebih 15 kenderaan digesel kenderaan berat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhadapan Stadium Hang Jebat malam tadi supaya tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata pihaknya juga sedang menunggu laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan terlibat untuk tindakan lanjut.

"Kita anggarkan lebih 15 kenderaan terlibat dalam insiden ini yang diletakkan secara tiga lapis di tepi Lebuh SPA sehingga memasuki laluan jalan raya menyebabkan laluan menjadi sempit dan menyukarkan kenderaan berat terlibat melalui jalan itu sehingga merempuh kenderaan tersebut.

"Polis telah mengawal dan tidak membenarkan tuan punya kenderaan terlibat meletakkan kenderaan mereka di laluan utama itu namun mereka masih berdegil dan sanggup mengambil risiko," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada Ahad malam, beberapa buah kereta yang diletakkan di bahu jalan rosak digesel kenderaan berat semasa pemilik kenderaan terlibat sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super antara Kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium tersebut dan berkesudahan JDT menang 2-0.

Mengulas lanjut, Shaikh Abdul Adzis berkata tindakan meletakkan kenderaan sehingga mengganggu laluan trafik itu juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak serius di kawasan berkenaan.

Beliau berkata berkata bilangan penonton yang datang di luar jangkaan iaitu kira-kira 30,000 orang dan situasi itu turut menyebabkan bilangan kenderaan meningkat daripada kebiasaan.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 06-2842222," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 30 anggota trafik ditugaskan mengawal lalu lintas manakala 432 orang pegawai dan anggota ditugaskan di dalam dan luar stadium bagi memastikan kelancaran sepanjang perlawanan antara PDRM dan JDT.

Katanya penonton dinasihatkan berkongsi kereta atau menaiki bas yang disewa untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung di stadium berkenaan pada masa hadapan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, seorang pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden itu, Ahmad Razimi Mohd Taib, 22 dari Ayer Keroh berkata dia mengetahui insiden menimpa kereta Proton Perdana milik ayahnya itu sebaik keluar stadium kira-kira 11 malam tadi.

"Tak tahu nak cakap apa, benda dah jadi...keluar tengok bola dah macam ni.

Serik dengan apa yang berlaku tapi tetap berbaloi sebab JDT menang. Lepas ni datang stadium tengok bola naik motor," kata pelajar jurusan perniagaan UiTM Puncak Alam itu.

Johor, Melaka

Artikel Berikut

Artikel Lain