suria

Bekas Penolong Jurutera DBKL Didenda Kerana Peroleh Projek

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong jurutera awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memperoleh projek penyelenggaraan parit di Sentul untuk syarikatnya, empat tahun lepas.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Dasuky Abdul Manaf, 28, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan pada Khamis.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Dasuky dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, dia membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan alternatif, Mohd Dasuky, yang ketika itu bertugas sebagai juruteknik awam di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, didakwa memperoleh untuk diri sendiri iaitu kontrak kerja-kerja penyelenggaraan parit induk bernilai RM56,240 daripada Syarikat Primak secara subkontraktor kepada syarikat milikya, Teras Paskal Enterprise, di Jalan 2/48A dan Jalan Dato Senu 3, Sentul di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei hingga Julai 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Bukhairi Wan Mohd manakala peguam Abd Razak Abd Bakar mewakili Mohd Dasuky.

Pada 19 Mei 2015, Mohd Dasuky mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan utama iaitu memperoleh suapan dalam bentuk menjalankan kerja-kerja memasang penghadang jalan bagi projek penyelenggaraan parit induk bernilai RM56,240 daripada Syarikat Primak secara subkontraktor kepada syarikat milikya, Teras Paskal Enterprise.

Bagi kesalahan itu, Mohd Dasuky didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - BERNAMA

DBKL, didenda

Artikel Lain