suria

Teluk Intan Bakal Tenggelam Jika Hakisan Tidak Ditangani - Mah Siew Keong

TELUK INTAN: Sebahagian bandar Teluk Intan akan tenggelam seterusnya menjadi pulau dalam tempoh 50 tahun lagi jika hakisan tebing di sekitar Sungai Perak tidak diatasi.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata, kerajaan telah memperuntukan RM50 juta lagi untuk membina ban atau tambak batu di tebing Sungai Perak bagi mengatasi masalah hakisan tebing dan banjir.

Katanya kerja pembinaan tambak batu sepanjang dua kilometer (km) itu bermula sejak awal bulan lalu dan dijangka siap hujung tahun hadapan. 

Siew Keong berkata, projek kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan tebing di Jalan Woo Saik Hong hingga ke Jeti Kampung Terengganu di Pasir Berdamar dekat sini.

"Sekiranya tidak ditangani, banyak rumah termasuk sebuah tokong di kawasan ini akan terhakis," katanya kepada pemberita selepas melawat kerja penambakan di Jeti Kampung Terengganu, Khamis. 

Menjelas lanjut, Mah berkata semua batu yang akan diguna untuk projek pembinaan tambak itu akan diangkut menggunakan feri sebagai usaha mengelak limpahan kenderaan berat di sekitar bandar berkenaan. 

Sementara itu, Pengarah JPS Perak Datuk Ir Abdul Razak Dahlan berkata, sebanyak RM70 telah diperuntukan untuk pembinaan tambak sebelum ini. 

"Sebelum ini kita letak ban pasir sepanjang 3.5km bagi mengelak air banjir melimpah ke kawasan rendah, dan untuk menambak keseluruhan kawasan kita jangkakan kira-kira RM70 juta lagi diperlukan," katanya. -- Bernama

Artikel Lain