suria

MH370: Tiga Beranak Fail Saman Kecuaian Terhadap MAS

KUALA LUMPUR: Isteri dan dua anak penumpang pesawat MH370 pada Khamis memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) atas dakwaan memungkiri perjanjian penerbangan hingga menyebabkan kehilangan seorang anggota keluarga mereka dalam penerbangan ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Saman kecuaian itu difailkan oleh isteri ahli perniagaan Koh Tiong Meng, 40, dan dua anak mereka, masing-masing seorang perempuan berusia 7 tahun dan seorang lelaki berusia lima tahun, melalui peguam mereka Datuk Dr. S. Arunan.

Ketiga-tiga plaintif itu, yang enggan didedahkan identiti mereka, memfailkan saman menerusi Tetuan Rusmah Arunan  and  Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan MAS sebagai defendan dalam tuntutan saman itu.

Dalam pernyataan tuntutan itu, wanita berusia 37 tahun itu yang juga seorang kerani dan dua anaknya, berkata Koh, yang merupakan penumpang pesawat MH370, telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing, pada 6.30 pagi, 8 Mac 2014.

Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS seharusnya menyediakan sebuah kapal terbang yang mempunyai kelayakan untuk terbang dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan suatu penerbangan yang selamat.

Namun, plaintif mendakwa MAS telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada bukti-bukti sahih mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga Khamis serta tidak diketahui di mana penumpang serta anak kapal pesawat MH370 itu berada.

Plaintif berkata pada 24 Mac 2014, MAS telah menghantar satu pesanan ringkas kepada isteri mangsa bagi memaklumkan bahawa pesawat MH370 telah hilang dan kesemua penumpang dan anak kapal yang berada dalam penerbangan itu tidak dapat diselamatkan.

Plantif berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari yang sama telah mengeluarkan kenyataan media rasmi yang menyatakan bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi.

Mereka berkata pada 29 Januari tahun lepas, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman yang mewakili kerajaan Malaysia mengumumkan kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.

Plaintif berkata mereka telah kehilangan sokongan kerana mangsa, yang merupakan seorang pengurus sebuah syarikat adalah penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan bulanan RM6,000 selain pendapatan sebagai ahli perniagaan kira-kira RM16,000.

Justeru itu, mereka menuntut ganti rugi bagi kehilangan sokongan, ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami mereka, ganti rugi teladan, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata selepas 515 hari pesawat MH370 hilang, pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Sementara itu, Arunan ketika ditemui pemberita berkata saman itu difailkan berikutan Montreal Convention 1999 yang menetapkan tempoh dua tahun bagi waris mangsa MH370 memfailkan tuntutan saman.

"Waris penumpang pesawat yang hilang itu telah memfailkan saman dalam keadaan penuh tekanan kerana tempoh dua tahun itu akan berakhir pada 8 Mac," katanya.

Arunan berkata beliau juga akan berjumpa antara 10 hingga 15 anggota keluarga penumpang pesawat itu untuk berbincang sama ada mereka mahu memfailkan tuntutan saman menerusi tetuannya.

Peguam itu berkata pada Ahad ini, anggota keluarga penumpang pesawat MH370 dari seluruh dunia akan berkumpul di Pusat Beli Belah Publika di sini berhubung tragedi itu. - BERNAMA

MH370, saman, MAS

Artikel Lain