suria

Perak Tidak Keluar Lesen Premis Baharu Kepada Peniaga Vape

IPOH: Kerajaan Perak mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tidak mengeluarkan lesen premis baharu kepada peniaga rokok elektronik atau vape di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata setakat ini, PBT di Perak mengeluarkan lesen kepada 23 premis menjual vape.

"Saya dimaklumkan sudah ada 23 premis yang telah diberikan lesen dan kita sedang melihat bagaimana untuk berurusan dengan pemilik premis ini.

"Kita perlu melakukan perkara ini agar selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar 'Sihat Tanpa Vape' peringkat negeri Perak di Dewan Banquet, Kementerian Dalam Negeri di sini, Khamis.

Dr Mah berkata kerajaan negeri mengambil langkah sedemikian, sehingga mendapat keputusan muktamad berhubung isu rokok elektronik atau vape daripada kerajaan persekutuan dan Kementerian Kesihatan.

"Sepanjang kita menunggu keputusan muktamad (daripada Kementerian Kesihatan dan Kabinet), kita mengarahkan agar PBT tidak mengeluarkan lesen baharu kepada peniaga vape," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Perak (Farmasi), Mohd Yunos Shaari berkata penjualan cecair vape mengandungi nikotin hanya boleh dijual atau dibekalkan oleh pemilik farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk kegunaan terapeutik mengikut Akta Racun 1952.

"Ini bermakna cecair yang mengandungi nikotin tidak boleh dijual oleh pihak lain.

"Oleh itu, mereka yang menjual barang mengandungi nikotin perlu mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Kawalan Dadah tetapi tiada seorang pun peniaga vape atau rokok elektronik di negeri ini telah berbuat demikian," katanya.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie pula berkata unit farmasi jabatan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen di bawah Akta Racun untuk peniaga rokok elektronik atau vape di Perak.-- Bernama

Perak, vape, PBT, Dr Mah Hang Soon

Artikel Sebelum

Artikel Lain