suria

Operator Kilang Maut Kereta Bertembung Lori Pasir

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Seorang operator kilang maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan pasir di Kilometer 4, Jalan Sungai Sayong-Bandar Tenggara dekat Kota Tinggi, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kemalangan kira-kira 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Rashidi Mishardi, 21, dari Felda Pasir Raja, Kulai, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bekerja.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Rashidi dari Kulai menghala Bandar Tenggara masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori tersebut yang dalam perjalanan ke Kulai," katanya menerusi kenyataan.

Rahmat berkata akibat kemalangan itu, Rashidi meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata mayat Rashidi dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

operator kilang, maut, kemalangan

Artikel Lain