suria

Prof Dr Aini Ideris Dilantik Naib Canselor UPM Yang Baharu

Profesor Datin Dr Aini Ideris
KUALA LUMPUR: Profesor Datin Dr Aini Ideris dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi, bekas pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM itu menggantikan Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember lepas.

"Pihak kementerian ingin mengucapkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Fauzi atas sumbangannya sepanjang menjawat jawatan naib canselor sejak 1 Jan 2013," kata kementerian dalam satu kenyataan.

Aini, anak kelahiran Kelantan, mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, UPM; Ijazah Sarjana dalam Sains Veterinar (Perubatan Avian) dari Liverpool University, England serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Perubatan Avian dari UPM.

Antara jawatan utama yang pernah disandang beliau di UPM ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Holdings.

Kepakaran beliau dalam bidang veterinar diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa apabila diberi kepercayaan untuk menganggotai pelbagai jawatankuasa antaranya di Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia, Felo Pengasas Malaysian College of Veterinary Specialists (FMCVS) dan Felo Malaysian Scientific Association (FMSA).

Aini turut dianugerahkan Asian Development Bank Fellowship untuk melanjutkan pengajian pasca kedoktoran di Cornell University, Amerika Syarikat.

Artikel Lain