suria

Hasrat Kanak-Kanak Hidap Leukemia Naik Kereta Peronda Polis Tercapai

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din beramah mesra bersama pesakit leukimia, adik Muhamad Alif Aqil Shaiful Azhar, 7 selepas menunaikan hajatnya untuk menaiki kereta peronda Polis di Balai Polis Damansara, Sabtu. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit leukemia untuk menaiki kereta peronda polis akhirnya tercapai.

Muhammad Alif Aqil Shaiful Azhar, 8, yang disahkan menderita penyakit leukemia sejak tahun lepas menzahirkan rasa teruja dan gembira kerana diberi peluang menaiki kereta peronda polis bersama anggota keluarganya yang lain.

Menjadikan watak Inspektor Sani lakonan Zizan Razak dalam filem 'Polis Evo' sebagai idolanya, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu hadir di Balai Polis Damansara bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain.

"Saya suka menonton filem Polis Evo, minat watak Inspektor Sani dan mahu jadi sepertinya (anggota polis) sebab nak tahan penjahat," katanya dalam nada ceria.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata impian kanak-kanak itu direalisasikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan organisasi bukan kerajaan (NGO) - 'Make A Wish' - hasil maklumat doktor yang merawat Muhammad Alif Aqil di Hospital Kuala Lumpur.

"Kali pertama program sebegini diadakan ialah pada tahun 2012 dan hari ini merupakan kali kedua. Selepas ini akan ada lagi program seumpama dibuat pada bulan hadapan," katanya kepada pemberita selepas melepaskan kereta peronda polis yang membawa kanak-kanak itu di balai polis berkenaan.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Bangsar itu telah dibawa meronda sekitar kawasan Bangsar kira-kira setengah jam sebelum dibawa ke Kidzania bagi melakukan aktiviti bersama keluarga.

Artikel Lain