suria

Nahas DUKE: Saksi Nampak Tempurung Kepala Di Lokasi Kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Trafik di sini bahawa beliau melihat serpihan tempurung kepala di sekitar lokasi kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa tiga beranak, Mei lepas.

Koperal Muhammad Khairul Ab Majid berkata beliau juga melihat tompokan darah pada mayat seorang lelaki yang dilihat terbaring di kawasan kemalangan itu.

"Saya nampak serpihan tempurung kepala di sekitarnya dan tompokan darah pada mayat tapi tidak pasti tompokan darah di tempat lain," kata saksi itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam Omar Bakhi Ahmad yang mewakili tertuduh Siti Noor Aini Mohd Said.

Beliau berkata demikian pada sesi perbicaraan kes dua pemandu Myvi, Siti Noor Aini, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.

Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa melakukan kesalahan itu di KM6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam hingga 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas.

Muhammad Khairul, 32, yang bertugas sebagai Koperal 'Standby' Kemalangan,  di Balai Trafik Tun H.S Lee pada hari kejadian, merupakan saksi keenam pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan pada sesi perbicaraan yang masuk hari ke-10.

Menurutnya pada 2 Mei 2015, beliau ditugaskan ke lokasi kejadian untuk mengawal lalu lintas, mengenal pasti kenderaan terlibat dalam kemalangan, menyalurkan maklumat pada Bilik Gerakan Trafik dan membawa kenderaan terlibat ke stor barang kes Trafik Kuala Lumpur.

Kepada soalan Omar Bakhi sama ada beliau ada melihat seorang bayi yang turut terlibat dalam kemalangan itu di lokasi kejadian, beliau berkata tidak.

Ketika pemeriksaan balas peguam S.N. Seelan, yang mewakili Mohammad Fizal Reza, Muhammad Khairul menjelaskan bayi yang dimaksudkan itu tidak ada di tempat kejadian ketika beliau tiba tetapi beliau dimaklumkan oleh orang awam bahawa bayi itu telah dibawa ke hospital.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzi mengenai apa lagi yang dilihatnya di tempat kejadian, Muhammad Khairul berkata beliau melihat satu mangsa lelaki berada di atas jalan raya dan satu mangsa perempuan sedang dirawat di dalam ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Muhammad Khairul berkata beliau juga melihat tertuduh Mohammad Fizal Reza masih berada di lokasi kejadian manakala tertuduh Siti Noor Aini telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya keadaan ketika itu juga sesak dengan kenderaan apabila ramai orang berhenti untuk melihat kejadian kemalangan itu.

Menjawab soalan Nadiah mengenai apakah tugas lainnya pada hari itu, Muhammad Khairul berkata selepas membawa kenderaan terlibat kemalangan ke stor barang kes, beliau turut diarah mengambil sampel darah dan air kencing kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung pada Khamis. - BERNAMA

Myvi, kemalangan, Mahkamah Trafik

Artikel Lain