suria

NFCorp: Mohamad Salleh Keluarkan RM81 Juta Ikut Terma & Syarat

Dr Mohamad Salleh Ismail.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Rabu, pengeluaran wang berjumlah RM81 juta daripada akaun khas National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) adalah mengikut terma dan syarat.

Pengerusi Eksekutif NFCorp itu berkata wang itu dipindahkan daripada NFCorp kepada akaun anak syarikatnya, National Meat  and  Livestock Sdn Bhd pada 2009.

Katanya pengeluaran wang itu mematuhi Notis Pengeluaran Pinjaman dan pihaknya turut mengemukakan segala dokumen berkaitan pengeluaran wang terbabit kepada Kementerian Kewangan.

Mohamad Salleh berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli dalam perbicaraan kes samannya terhadap Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli dan portal berita Malaysiakini berkaitan pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Dalam saman difailkan pada 3 Jun, 2013, Mohamad Salleh, 67, dan NFCorp, mendakwa pada 7 Mac, 2012, Mohd Rafizi, selaku pengarah strategi PKR ketika itu, membuat kenyataan berbaur fitnah pada sidang media di pejabat PKR mengenai pembelian hartanah itu dan disiarkan oleh Malaysiakini pada hari yang sama.

Beliau berkata saman difailkan kerana kerugian yang dialami akibat pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat perbankan yang sulit dan kenyataan fitnah yang dibuat oleh defendan.

Mohamad Salleh memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memperdayakan orang ramai mengenai isu itu.

Ketika ditanya Razlan Hadri berhubung pembelian hartanah di Bangsar, Mohamad Salleh menafikan menggunakan wang pinjaman itu untuk membeli hartanah bagi kegunaan peribadi dan keluarganya.

"Itu semua adalah tuduhan yang dibuat oleh pihak pembangkang semata-mata," katanya.

Beliau turut menafikan cadangan Razlan Hadri bahawa berdasarkan Laporan Audit yang dikeluarkan pada 2010, NFCorp tidak dapat mencapai sasaran untuk mengeluarkan 8,000 lembu sembelihan di Pusat Fidlot Nasional Gemas, Negeri Sembilan.

Mohamad Salleh berkata Laporan Audit itu diputar-belit oleh pembangkang kerana syarikat itu gagal mencapai sasaran berikutan kerja selenggaraan yang bukan di bawah tanggungjawabnya, gagal disempurnakan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan bersambung pada Khamis. - BERNAMA

Dr Mohamad Salleh Ismail, NFCorp

Artikel Lain