suria

Empat Individu Termasuk Suami Isteri Ditahan Curi 20 Set TV Hotel

LABUAN: Empat individu termasuk sepasang suami isteri  ditahan, dipercayai mencuri 20 set televisyen milik sebuah hotel di sini, bernilai lebih RM10,000 pada 9 Disember lepas.

Kesemua suspek ditahan selepas laporan polis dibuat oleh pengurus sumber manusia hotel berkenaan apabila mendapati set televisyen jenama Samsung dan Panasonic hilang dari stor hotel.

Ketua Polis Labuan Superitendan Adzhar Othman berkata si suami berusia 27 tahun merupakan bekas pekerja hotel berkenaan manakala isterinya berusia 31 tahun, dan dipercayai lelaki itu dalang dalam kes berkenaan.

"Pasangan itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Kuda  antara 10 malam dan 12 tengah malam pada 12 Disember," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata dua lagi suspek, iaitu remaja perempuan berusia 17 tahun dan  suspek lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai rakan sejenayah, dan remaja berkenaan ditahan di Kg Pohon Batu pada 12 Disember manakala suspek lelaki ditahan di Kg Ganggarak pada 14 Disember.

"Penahanan mereka membawa kepada penemuan 14 daripada 20 set televisyen itu.

"Siasatan mendapati suspek menjual barangan curi itu menerusi platform jual beli dalam talian," kata Adzhar.

Sementara itu, polis juga sedang menjejaki seorang lelaki berusia 25 tahun berhubung kecurian tiga enjin bot bernilai lebih RM100,000 milik seorang pemancing.

Beliau berkata tiga lelaki disoal siasat selepas pemiliknya membuat laporan polis pada 5 Dis, mendakwa enjin botnya hilang dari stor beliau di Kg Lubok Temiang.

Bagaimanapun ketiga-tiga lelaki itu kemudian dibebaskan, katanya.-- Bernama

Artikel Lain