suria

MMA Saran Perbincangan E-Rokok Ditumpu Kepada Isu Kesihatan

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai e-rokok harus tertumpu kepada isu kesihatan dan bukan sebaliknya kepada kesejahteraan ekonomi para peniaga, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). 

Presiden MMA, Dr Ashok Zachariah Philip berkata, memandangkan banyak aktivis pro rokok elektronik mendakwa bahawa e-rokok adalah lebih berkesan daripada terapi konvensional untuk berhenti merokok, dakwaan itu memerlukan kajian lanjut, dalam bentuk kaji selidik secara rambang.

"Jika benar bahawa e-rokok jauh lebih berkesan untuk berhenti merokok, maka ia boleh ditawarkan sebagai opsyen terapi di klinik berhenti merokok," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, e-rokok mungkin tidak cukup lama berada di pasaran untuk sesiapa mendakwa bahawa ia selamat digunakan untuk jangka panjang kerana kerosakan jangka panjang pada organ berlaku dengan mengambil masa 15 atau 20 tahun.

"Kewarasan akal dan sikap berhati-hati menyatakan bahawa menghidu bahan kimia aktif yang mudah meruap ke dalam pundi udara paru-paru lebih berkemungkinan menyebabkan kerosakan," katanya.

Dr Ashok Zachariah mencadangkan supaya kajian lanjut dijalankan untuk menjelaskan dakwaan aktivis pro rokok elektronik bahawa e-rokok adalah 95 peratus lebih selamat berbanding rokok. 

"Perlu diambil maklum bahawa lima peratus pun daripada bahaya merokok bukan perkara remeh," katanya.

Beliau berkata, jika e-rokok digunakan semata-mata untuk berhenti merokok, perkara itu perlu dibuktikan menerusi satu kes untuk menyatakan ia mengurangkan bahaya.

"Bagaimanapun, ramai anak muda yang tergoda oleh 'faktor penenang' dan propaganda bahawa e-rokok tidak berbahaya, telah mengamalkan tabiat ini.

"Walaupun e-rokok hanya lima peratus sama bahaya dengan rokok tembakau, ini bukan risiko kesihatan yang remeh bagi seseorang yang tidak pernah merokok," katanya.

Beliau juga berkata walaupun pengguna e-rokok menyatakan bahawa cecair di dalam e-rokok mengandungi bahan 'selamat' seperti pewarna dan perisa makanan dengan jumlah kecil nikotin dan propylene glycol, bahan itu tidak didiuji sebagai inhalan. 

"Saya percaya bahawa faedah rokok elektronik sama ada terhad atau khayalan, manakala potensi kesan buruk, terutama kepada golongan muda, adalah amat nyata.

"MMA menyokong penuh Kementerian Kesihatan dalam inisiatifnya untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik yang jelas didorong oleh kebimbangan terhadap kesihatan," katanya. - Bernama

Artikel Lain