suria

Rujuk Pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram Ke Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA: Kerajaan akan merujuk kes Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung pertemuan kontroversinya dengan anak Jamalul Kiram II, Jacel H Kiram Hasan kepada Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap pertemuan itu sesuatu tidak dialu-alukan dan berkata ada beberapa tindakan lain yang dapat dilakukan Naib Presiden PKR itu.

"Polis akan mengendalikan kes ini dan akan menentukan bentuk tindakan yang akan diambil.

"Kerajaan akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan pihak perundangan berkaitan kes ini," kata Ahmad Zahid pada sidang media di sini, Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Nurul Izzan juga boleh dirujuk ke Dewan Rakyat jika ada Ahli Parlimen yang menyarankan usul supaya tindakan diambil terhadapnya.

"Ketika kita meraikan perbezaan pandangan dalam politik, tetapi dalam hal berkaitan keselamatan negara, ahli politik perlu sensitif dan tidak sepatutnya mempunyai pendapat berbeza.

"Semua pihak tahu keluarga Jamalul Kiram ada kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu. Ia bukannya kes berkaitan politik, tetapi ia menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Jika ada antara rakyat kita yang dilihat bersama mereka, ia umpama mengiktiraf keluarga Kiram. Pada pandangan kerajaan, pertemuan ini sememangnya tidak dialu-alukan," katanya.

Artikel Lain