suria

Dipenjara Kerana Simpan Kereta Curi Milik Kedutaan Turki

KUALA LUMPUR: Gara-gara menyimpan kereta curi milik penasihat Kedutaan Turki di Malaysia, seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Saiful Bahtiar, 28, selepas dia mengaku bersalah menyimpan kereta Toyota Camry milik Bora Er, 37, di hadapan padang futsal, Kampung Kurnia, Simpang Pulai di Ipoh, Perak pada 11.30 pagi, 4 Dis 2014.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 4 Dis 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 10 malam 22 Okt tahun lepas, Bora meletakkan keretanya yang berwarna putih dalam keadaan enjin hidup dan tidak berkunci di stesen minyak Petronas Jalan Ampang untuk membeli minuman di kedai Mesra.

Kemudian, beliau terdengar jeritan juruwang menyatakan keretanya dilarikan oleh seorang lelaki.

Bora cuba mengejar kereta itu namun tidak berjaya.

Pada 11.30 pagi 4 Dis tahun lepas, polis berjaya menangkap tertuduh yang sedang menaiki kereta itu di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke arah selatan dan keluar di Tol Simpang Pulai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu dan bapanya. 

Turki, Penjara

Artikel Berikut

Artikel Lain