suria

Pengawal Keselamatan Cabul Rakan Sekerja

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Cheras pada Jumaat didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan rakan sekerjanya.

Mohd Azizulakim Dzulkifli, 31, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ketiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa, 18, yang juga pengawal keselamatan di tempat sama.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di kaki lima Aras 19, Blok A, berdekatan tangga kecemasan aras 19 Blok B dan di kaki lima Aras 17 Blok A sebuah kondominium di Bandar Tasik Selatan, Cheras, di sini pada 3 petang 6 Jun, 4 petang 18 Jun dan 9.30 malam 3 Julai tahun ini.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohd Azizulakim didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa menyebut perkataan dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa di kaki lima Aras 19 Blok A kondominium itu pada 3 petang, 16 Jun lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Cabul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain