suria

Rakyat Sabah Tersinggung Dengan Gambar Nurul Izzah Bersama Jacel

Gambar Nurul Izzah bersama Jacel menjadi viral di laman media sosial.

PETALING JAYA: Pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Karim di Filipina boleh ditafsirkan sebagai 'sokongan tidak ketara' bagi kempen anak perempuan Jamalul Kiram III untuk menjadi senator, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Yong berkata pertemuan seperti itu amat menyinggung perasaan rakyat Sabah kerana Jacel membuat tuntutan terhadap negeri berkenaan dalam agenda utama kempen beliau.

"Bukan itu sahaja, Jacel merupakan jurucakap utama kepada kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad Datu pada 2013.

"Banyak nyawa tidak berdosa terkorban, penduduk Sabah terpaksa berpindah dan pasukan keselamatan kita terkorban. Malah sehingga kini, ia memberi kesan buruk kepada ekonomi di Sabah terutamanya di pantai timur masih dirasai," katanya kepada The Star pada Jumaat.

Yong berkata kempen Jacel (untuk menuntut Sabah) telah diketahui ramai dan tiada sebab Nurul yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan sejawatannya tidak menyedarinya.

"Oleh itu rakyat Sabah amat tersinggung malah terganggu dengan sokongan Nurul terhadap Jacel," katanya.

Gambar Nurul Izzah bersama Jacel mencetuskan pelbagai kritikan dengan kebanyakan pihak mempertikaikan mengenai pertemuan tersebut.

Dalam salah satu gambar, Nurul Izzah dilihat sedang menikmati makan malam bersama Jacel dan seorang lelaki tidak dikenali.

Menerusi dua gambar lain, Nurul Izzah bergambar dengan Jacel sambil memegang poster yang tertera perkataan ‘Release Anwar Immediately’.

Nurul Izzah bagaimanapun mempertahankan pertemuan dengan Jacel dengan berkata ia diatur pihak berkuasa Filipina.

Katanya, beliau berlepas ke Filipina pada 9 November lalu bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sebagai sebahagian daripada delegasi parti untuk bertemu pihak berkepentingan politik di negara itu.



Nurul Izzah Anwar, Jacel Kiram

Artikel Lain