suria

Kerajaan Berhak Tahu Sebab Nurul Izzah Jumpa Jacel - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar
MELAKA: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kerajaan berhak mengetahui sebab pertemuan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram kerana ia berkaitan isu keselamatan negara.

Katanya polis tidak memerlukan laporan untuk memanggil Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhubung pertemuan dengan musuh negara.

"Kita semua sedia maklum Jamalul Kiram III merupakan orang yang mengetuai pencerobohan di Lahad Datu, jadi kita ingin tahu juga apa sebab dia (Nurul Izzah) pergi berjumpa Jacel, anak perempuan Jamalul.

"Setakat ini saya tidak dimaklumkan ada laporan polis dibuat atau tidak berhubung tindakannya (Nurul Izzah) tetapi kita tidak memerlukan laporan polis, jika kita rasa perlu memanggilnya, kita akan panggil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem Panther911 di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tindakan Nurul Izzah menemui Jacel yang bapanya mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Khalid berkata PDRM juga akan memantau perkembangan hasil pertemuan antara kedua-dua pihak tersebut.

Jacel memuat naik empat gambar bertarikh 9 Nov dalam akaun facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

Semalam Bernama melaporkan Nurul Izzah mengakui bertemu Jacel pada 9 Nov apabila berada di Filipina bersama Anggota Parlimen Batu Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Beliau berkata pertemuan itu dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Khalid juga berkata PDRM telah membuka kertas siasatan bagi mengesan bagaimana kebocoran maklumat laporan terhadap ancaman pengganas di Malaysia berlaku.

"Biarlah kita siasat...sementara itu saya minta janganlah kita hebahkan lagi perkara ini..ia akan menimbulkan kerungsingan masyarakat," katanya.


Sementara itu, Panther911 yang disediakan Gigistar Corporation Berhad berupaya menyediakan pemantauan keselamatan di bangunan kediaman, komersial dan perindustrian menerusi platform berasaskan protokol internet dan teknologi.

Artikel Berikut

Artikel Lain