suria

Penuntut Malaysia Di Perancis Selamat, Perlu Waspada - Duta Perancis

Seramai 129 dilaporkan maut dalam serangan di Paris.

KUALA LUMPUR: Duta Perancis ke Malaysia Christopher Penot memberi jaminan bahawa penuntut Malaysia di negara itu selamat tetapi menggesa mereka supaya tetap berwaspada berikutan serangan pengganas di Paris Jumaat lepas.

Beliau berkata pihak keselamatan Perancis kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya bagi menjamin keselamatan orang awam di negara itu.

"Kami cuba untuk mengelakkan serangan baharu dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan setiap orang di Perancis termasuk  pelancong dan pelajar. Tiada sebab untuk mempercayai akan ada lagi serangan tidak lama lagi tetapi kami perlu kekal berwaspada.

"Pada masa ini, kerajaan Perancis telah mengisytiharkan darurat selama 12 hari dan mungkin akan dilanjutkan ke beberapa hari lagi. Langkah-langkah keselamatan ini akan memberi kuasa luar biasa kepada pihak keselamatan dan polis, beliau memberitahu Bernama selepas melancarkan platform 'Alumni Perancis Malaysia', di sini malam Rabu.

Platform digital Alumni Perancis bermatlamat untuk memberi peluang kepada alumni asing untuk mengekalkan hubungan mereka dengan Perancis, sekolah dan universiti, perniagaan dan kebudayaan di sana.

Jumaat lepas pengganas menyerang beberapa lokasi di Paris termasuk restoran, dewan konsert dan stadium mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 orang terkorban dan 352 cedera.

Ditanya sama ada serangan baru-baru ini akan menjejaskan ketibaan pelajar asing ke Perancis, Penot optimis bahawa Perancis akan terus menjadi destinasi pilihan penuntut, terutamanya dari Malaysia.

Beliau berkata setiap tahun secara purata 200 penuntut dari Malaysia melanjutkan pengajian mereka di negara itu dan percaya keadaan ini akan berterusan.

"Keganasan adalah satu fenomena global, ia boleh berlaku di mana-mana di dunia dan ia tidak hanya memberi kesan kepada satu negara (Perancis) tetapi seluruh masyarakat antarabangsa.Oleh sebab itu kami perlu menyampaikan mesej yang serius kepada pelakunya," katanya.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu bersatu dan kekal tenang biarpun terdapat serangan.

"Kami sedang berperang dengan pengganas yang sangat terancang dan terselaras yang cuba untuk memusnahkan cara kehidupan kami dan memusnahkan setiap apa yang kami percaya dan untuk saya respons terbaik yang kami boleh berikan ialah meneruskan kehidupan kami bersama-sama," katanya.

Penot berkata Kedutaan Perancis di Malaysia memantau dengan rapi perkembangan terkini di Paris dan akan mengeluarkan kenyataan bila perlu dan sesiapa yang ingin bertanya boleh menghubungi kedutaan untuk mendapatkan maklumat. - BERNAMA

pelajar Malaysia, Perancis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain