suria

Suami Isteri Didenda Seleweng Petrol, Diesel

SEREMBAN: Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM240,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, selepas didapati bersalah menyimpan stok berlebihan serta menyeleweng petrol dan diesel.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu terhadap Chok Eng Seng, 29, dan isterinya, Goh Sock Mei, 29, selepas berpuas hati dengan semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Kedua-dua tertuduh yang juga pemilik stesen minyak, masing-masing menghadapi tiga pertuduhan iaitu menyimpan stok petrol berlebihan daripada kuantiti dibenarkan dan gagal menyelenggara buku petrol serta diesel, yang mempunyai butiran setiap pembelian termasuk tarikh, kuantiti serta nama penjual.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Wira, Batu 3, Jalan Seremban, Lukut, Port Dickson pada pukul 11 pagi, 5 Mac tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 21 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dituduh menyimpan 44,628 liter petrol, melebihi kuantiti yang ditetapkan iaitu 27,300 liter.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, mereka dituduh gagal menyelenggara suatu buku stok barang berjadual iaitu diesel dan petrol, yang mengandungi butiran setiap pembelian yang menunjukkan tarikh, kuantiti, harga serta nama dan alamat penjual.

Hakim menetapkan tertuduh didenda RM80,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan adalah RM480,000 bagi kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, K. Selvarajoo manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yang Teik Lee dan Gurdit Singh. - BERNAMA

seleweng, petrol, diesel, suami isteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain