suria

Kerajaan Mahu Hukuman Mati Mandatori Dihapuskan

Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah dan menegaskan hukuman sepatutnya dibuat berdasarkan budi bicara hakim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata mereka sedang berusaha untuk membentangkan usul tersebut pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Mac depan.

"Kerajaan berminat untuk melakukannya tetapi ia mempunyai batasan. Bukan mudah untuk memindanya semalaman dan Jabatan Peguam Negara berkerja keras untuk melaksanakannya," kata beliau.

Nancy berkata matlamat mereka adalah untuk menghapuskan perkataan mandatori dari undang-undang bagi kesalahan berkaitan dadah dan memasukkan peruntukan budi bicara hakim.

Menurutnya, buat masa ini terdapat kira-kira 1,022 banduan yang menghadapi hukuman mati.

Ketika ditanya sekiranya beliau mendapati hukuman mati berkesan membendung jenayah, Nancy berkata, ia tidak membantu.

"Kita perlu cari cara lain seperti pendidikan, motivasi atau sesuatu yang lain," katanya.

Buat masa ini, hukuman mati diperuntukkan untuk kes pembunuhan, senjata api, pengkhianatan dan penyeludupan dadah.

Pada Jumaat lalu, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata beliau akan mencadangkan kepada Kabinet bahawa hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Beliau berkata hukuman mati mandatori adalah "paradoks", kerana ia merampas daripada hakim hak menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman ke atas penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Artikel Lain