suria

Orang Ramai Diminta Salur Maklumat 12 Pengikut Ajaran Sesat Millah Abraham@ Ibrahim

Paimuzi menunjukkan gambar Mohd Razis Ismail, 33 atau dikenali 'Ustaz Kasanova' dan 12 orang tertuduh yang disyaki terlibat dengan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim semasa sidang media di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai 12 pengikut ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang tidak menghadirkan diri pada prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Paimuzi Yahya berkata mereka yang dituduh sebagai pengikut ajaran Millah Abraham telah menghilangkan diri selepas dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah dengan seorang penjamin sejak Oktober 2014, dan mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Paimuzi berkata 12 tertuduh itu terdiri daripada Abdul Azim Abdullah, Aizul Farikh Zainal Abidin, Zakaria Mat Kasa, Mohd Arif Abdul Aziz, Mohamad Harizal Kamarudin, Amirol Hafiz Mohd Samad, Nur Ridah Osman, Norayuni Mat Yusof, Heffy Syamsuar, Mohd Fazil Mohd Yunus, Raja Mohd Faidzul Draman dan Mohd Razid Baharudin.

Katanya tertuduh yang ditahan dalam serbuan di Cheras perlu menghadiri  perbicaraan di Mahkamah Syariah di sini pada 25 November ini dan mereka yang ditahan di Wangsa Maju perlu menghadirkan diri di Mahkamah Syariah di sini pada 30 November ini.

"Kesemua tertuduh sebelum ini ditahan menerusi dua serbuan berasingan iaitu di Megan Pheonix, Jalan Cheras, pada 20 Oktober 2014 dan di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 3 November 2014," katanya pada sidang berita di sini Selasa.

Pamuzi berkata siasatan JAWI mendapati ajaran yang diasaskan Ahmad Mosadiq dari Indonesia itu jelas bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Katanya antara perkara yang bertentangan ialah mereka membawa ajaran dan kerajaan baharu, mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW, mensyirikkan golongan yang tidak mengikut ajaran mereka, menggabungkan tiga agama (iaitu Islam; Kristian dan Yahudi), memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri, mendakwa kejadian hari kiamat adalah palsu dan meninggalkan solat Jumaat serta  solat lima waktu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 12 orang itu  boleh menghubungi pegawai penyiasat JAWI, Farah Wahida Zulkiflee di talian  011-32961821 atau talian bebas tol Penguatkuasaan JAWI 1-800-881771. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain