suria

Beri Penjelasan Kepada Rakyat Mengenai Penyingkiran Gani - Kit Siang

Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat punca penamatan perkhidmatan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan penjelasan penuh mengenai layanan terhadap Gani yang ditamatkan perkhidmatannya secara tiba-tiba selepas berkhidmat hampir 13 tahun sebagai Peguam Negara.

"Gani tidak akan terkejut dengan penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada Isnin sekiranya beliau memohon untuk bersara awal.

"Tidakkah beliau berhak mendapat ihsan asas, dimaklumkan bahawa perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan, jika atas alasan masalah kesihatan adalah sebab sebenar penamatan tugasnya," kata Lim dalam sidang media pada Khamis.

Lim bertanya sekiranya Gani mengalami 'ketidakupayaan' yang serius menyebabkan beliau gagal menunjukkan prestasi atau menjadi tidak efektif sehingga menyebabkan beliau ditamatkan perkhidmatan.

"Lebih luar biasa dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Gani dalam keadaan baik untuk menganggotai pasukan petugas khas dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," kata Lim.

Gani sepatutnya bersara wajib pada 6 Oktober ini, dua bulan dari sekarang.

Jawatan beliau digantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu.



Lim Kit Siang, DAP, Abdul Gani Patail

Artikel Lain