suria

Kematian Juruaudit: Suami Didakwa Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan membunuh isterinya, sembilan hari lalu.

Mohamed Nor Ariff Mohamed Ariff, 48, didakwa membunuh Suraiza Hamzah, 46, juruaudit sebuah syarikat penerbangan, di sebuah rumah di Lorong Aminuddin Baki 2, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada kira-kira 8.15 malam, 20 Julai lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Mohamed Nor Ariff hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menghantar tertuduh untuk pemerhatian psikiatri.

Erry Shahriman membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh dihantar di bawah pemerhatian psikiatri selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes.
 
Media sebelum ini melaporkan Suraiza dijumpai terbaring di ruang tamu oleh anaknya berusia 17 tahun semasa pulang ke rumah.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bergaduh dengan suaminya yang dipercayai mempunyai masalah mental.

Laporan awal mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.
juruaudit, kematian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain